Showing posts with label KONSEP WACANA. Show all posts
Showing posts with label KONSEP WACANA. Show all posts

Thursday, 28 April 2016

Pengupayaan Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu di Malaysia dan Singapura*

Analisis Di atas telah dinyatakan bahawa di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dimulakan mata kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu sejak sesi 1993/1994. Malah, pada sesi 2003/2004 kursus kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu Lanjutan ditawarkan di jabatan tersebut. Seterusnya, sejak sesi 1993/1994 ditunjukkan terdapat dua buah latihan ilmiah yang terdiri daripada Hasnah Mat Adnan (1994), “Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan Wee Pheng (1994), “Tautan dalam Bahasa Melayu”. Di sini, dikemukakan seterusnya sumbangan dalam bidang tatabahasa wacana dalam bentuk tahun, nama pengarang dan tajuk di samping jenis penerbitannya.

 Pada tahun 1996, Sanat Md. Nasir, Sanat Md. Nasir, “Tautan Dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar”, tesis Ph.D Universiti Malaya, Sanat Md. Nasir, “Wacana Sulalatus Salatin Dan Imam: Dari Perspektif Tautan”, penerbitan artikel dalam Safrin, Subhilhar dan Sudirman (ed) Tradisi Dan Kemodernan, Universitas Sumatera Utara, Medan, Sanat Md. Nasir, “Kewacanaan Za’ba” dalam Wan Abdul Kadir (ed) 100 Tahun Za’ba: Pejuang Bangsa, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur. 

Pada tahun 1997, Sanat Md. Nasir, “Tautan Penghubung Ayat Dalam Wacana Bahasa Melayu: Suatu Analisis Tentang Rencana Pengarang Utusan Zaman Akhir Dekad 1950-an dan 1960-an” dalam. Indirawati Zahid (ed), Monograf Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, Sanat Md. Nasir, “Yang Terabai Dalam Penulisan Tatabahasa Bahasa Melayu” dalam Indirawati Zahid (ed), Monograf Jabatan Bahasa Melayu, Siri Kedua, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, Sanat Md. Nasir, “Pengajaran Bahasa Melayu Mengikut Pendekatan Wacana” dalam Indirawati Zahid (ed), Monograf Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, Sanat Md. Nasir, “Pengajian Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu Dari Perspektif Sejarah dan Prospeknya” dalam Nuwairi Hj. Khaza’ai dan Wong Khek Seng (ed), Pengajian Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, dan Sanat Md. Nasir, “Wacana Cerpen Melayu: Analisis Struktur Maklumat” dalam Norazit Selat dll (ed), Meniti Zaman Masyarakat Melayu Antara Tradisi & Moden, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1998, Azizah Abdul Hamid, “Analisis Penulisan Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Rendah-Satu Perspektif Wacana”, Naesah Osman, Analisis Struktur Maklumat Dan Unsur Tautan Dalam Imam, dan Siti Norngaliah Mohd. Salihin, “Keterbacaan Teks Berdasarkan Ciri-Ciri Ketekstualan”, latihan ilmiah.
Pada tahun 1999, Abd. Razak Mohamad Yusof, “Analisis Unsur Tautan Dalam Skrip Drama Melayu”, Shahariman Ahmad, “Analisis Tautan Genre Cerpen Dan Rencana:Aplikasi Model Tautan Pindaan (1996)”, Shamsudin Othman, Analisis Sajak: Aplikasi Model Tautan Pindaan”, dan Siti Khainorliza Mohd. Nordin, “Tautan Penghubung Ayat: Satu Perbandingan Analisis Teks Lama Dan Teks Baru”, latihan ilmiah. 
Pada tahun 2000, Mohd. Rashid Md.Idris, “Analisis Wacana Cerpen 1950-an Dari Perspektif Struktur Maklumat Dan Struktur Tema”, kertas projek ijazah sarjana.
Pada tahun 2001, Jamal Iskandar Ismail, “Struktur Tema Dan Tautan”, latihan ilmiah, Azahar Md.Sabil, “Warkah Melayu Lama: Satu Penerapan ‘Teori’ Atqakum” , kertas projek ijazah sarjana dan Dulitah Salmi @ Nur Aisyah Abdullah, Analisis 90 Sanat Mohd Nasir Struktur Maklumat Dalam Cerpen ‘Pertemuan Di Cedar Rapids’, kertas projek ijazah sarjana muda. 
Pada tahun 2002, Suryani Atan, “Tautan Perulangan Dalam Wacana Cerpen Melayu: Analisis Perbandingan Cerpen-Cerpen Konvensional, Peralihan Dan Absurd” dan Zelda Mohd. Ibrahim, “Kewacanaan Rubai Hamzah Fansuri”, latihan ilmiah, Hasnah Mat Adnan, “Analisis Tautan Dan Runtutan”, tesis sarjana, dan Sanat Md. Nasir, Tautan Dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2003, Sanat Md.Nasir, “Undang-undang Sastera, Sastera Undangundang dan Undang-undang Bahasa” dalam Mohamad Mokhtar Hassan et.al (ed), Kesusasteraan Dan Undang-Undang. Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur. 

Pada tahun 2004, Alice Alim, “Analisis Tautan Perulangan Dalam Lirik Lagu Melayu Moden”, Asnia Adas, “Tautan Perulangan: Perbandingan Antara Buku Teks Singapura Dengan Malaysia”, Jamil Akok, “Wacana Dalam Novel Salina: Kajian Dari Aspek Tautan”, Norhayati Othman, “Tautan Penghubung Ayat: Analisis Perbandingan Teks Ucapan Dr.Mahathir Mohamad Dekad 1980-an Hingga 2000-an”, Nuridahyu Mohamed Noor, “Tautan Perulangan Dalam Wacana Cerpen Masuri S.N.”, dan Rohasan Mansor, “Perbandingan Tautan Penghubung Ayat: Teks Manja Dari Singapura Dengan Teks Nona Dari Malaysia”, latihan ilmiah, Siti Norngaliah Mohd. Salihin, “Nyanyi Sunyi Amir Hamzah: Analisis Runtutan” disertasi sarjana sebahagian, dan Sanat Md.Nasir, “Wacana Hikayat Hang Tuah Dan Hikayat Zulkarnain: Satu Perbandingan” dalam Rogayah Hamid & Mariam Salim (ed), Epik Melayu: Satu Kajian Naskah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 

Pada tahun 2005, Suryani Atan, “Elipsis Dalam Wacana Lisan”, tesis sarjana, Sanat Md.Nasir, “ ‘Teori’ Atqakum Dalam Pemikiran Pengajian Bahasa Melayu”, dalam. Hashim Musa (ed.), Bahasa Dan Pemikiran Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur, Sanat Md.Nasir, “ Ucapan Bajet 2006 oleh Perdana Menteri Malaysia: Analisis Wacana Kritis Plus dalam Perbandingan”, dalam. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 16. 

Pada tahun 2006, Sanat Md.Nasir, “ Mencari Melayu Dalam Analisis Wacana Kritis, Retorik Dan Kesantunan “, dalam. Kamsiah Abdullah et. al (ed.), Budaya:Memeluk Akar Menyuluh ke Langit, Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, dan Sanat Md.Nasir, “ Wacana Pantun Melayu” dalam. Hashim Awang et. al (ed.) Wacana Budaya, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur. 

Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, ditawarkan kursus analisis wacana di peringkat sarjana mulai awal 2007. Sehingga ini, kursus tersebut telah ditawarkan dua kali. Yang berikut ialah penyataan modul kursus yang sampai ke peringkat wacana kritis: “This module focused on how is discourse used to structure social processes and institutions. It introduces students to discourse analysis with a specific focus on critical discourse analysis (CDA) as a method of data analysis in literacy studies and educational research.” 

Pengupayaan Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu 91 Namun begitu, kursus tersebut lebih memberatkan aspek tatabahasa wacana sehingga kepada tatabahasa wacana mega. Lihat Lampiran tentang rangka kursus yang berdasarkan minggu. Pelajar kursus sarjana tersebut dikehendaki membuat tugasan masing-masing sepanjang kursus sebagai penilaian. Didapati mereka dapat menyerap dan mengaplikasikannya di dalam bilik darjah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa dan karangan.

Pada tahun 2007, Sanat Md.Nasir, “Analisis Wacana Lidah Pengarang Berita Harian Singapura dan Berita Harian Malaysia” dalam. Paitoon M. Ch. (ed.) Prosiding Persidangan Persatuan Linguistik Asean (PLA) di Cheng Mai, Thailand dan Sanat Md.Nasir, “P&P Karangan Dan Kosa Kata Dalam Pemerhatian Terhadap Guru Pelatih Di Singapura: Penyelesaian Melalui Tatabahasa Wacana” dalam Prosiding Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Ke-3, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, Malaysia.  



rujukan: 

Sanat Md. Nasir, (2002). Tautan Dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. 92 
Sanat Mohd Nasir Sanat Md.Nasir, (2005). “ ‘Teori’ Atqakum Dalam Pemikiran Pengajian Bahasa Melayu”, dlm. Hashim Musa (ed.), Bahasa Dan Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur:Akademi Pengajian Melayu. 
Sanat Md.Nasir, (2006). “ Mencari Melayu Dalam Analisis Wacana Kritis, Retorik Dan Kesantunan “, dalam. Kamsiah Abdullah et. al (ed.), Budaya:Memeluk Akar Menyuluh ke Langit. Singapura:Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang. Schiffrin et.al , (2003). The Handbook of Discourse Analysis. (Ed) kulit nipis, Oxford: Blackwell Publishing.

PERKAITAN ANTARA ANALISIS WACANA DENGAN SEMANTIK

Hubungan dai aspek semantik

Jalinan makna di antara satu ayat dengan ayat lain atau perenggan-perenggan lain.

a) Hubungan sebab dan akibat:
Dia sangat malas. Dia bodoh.

b) Hubungan sebab dan hasil:
Ali rajin bekerja. Dia kaya.

c) Hubungan sebab dan tujuan:
Hassan berpakaian kemas. Dia mahu memikat Aminah.

d) Hubungan syarat dan hasil:
Kita mesti rajin berusaha. Kerajinan menjamin kejayaan.

e) Hubungan latar dan kesimpulan:
Lagu itu sungguh enak didengar. Sebenarnya M.Nasir yang menciptanya.

f) Hubungan perbandingan:
Hasnah cantik. Kakaknya lebih cantik lagi.

g) Hubungan sampingan:
Saya sudah membuat kerja rumah. Saya letih jadi saya hendak tidur.

h) Hubungan memperkuat isi:
Sungguh cantik gadis itu. Rambut ikal mayang, berlesung pipit dan berhidung mancung.


 Hubungan Dari Segi Aspek Fonologi

Dilihat daripada segi hentian suara, nada suara dan intonasi suara. Ini dapat menimbulkan hubungan semantik di antara bahagian wacana. Intonasi suara berperanan penting sebagai penanda dan pemisah frasa dan pembeza struktur ayat, contohnya seperti ayat di bawah:

a. Malaysia negara yang aman.
b. Negara yang aman, Malaysia. (ayat penyata)
c. Aman negara Malaysia?. (ayat tanya)


Hubungan Dari Segi Leksikal

Hubungan wacana berdasarkan pemilihan dan penggunaan perkataan yang sesuai dengan makna yang ingin disampaikan.

i. Antonim:
Pemuda harapan bangsa. Pemudi tiang negara.

ii. Sinonim”
Ali seorang yang rajin. Kegigihannya belajar membolehkan dia melanjutkan pelajaran ke universiti.

iii. Hiponim:

Dia menanam pokok melur, cempaka, bunga raya dan bunga kertas di halaman rumahnya. Jadi halaman rumahnya nampak indah dengan pokok-pokok bunga tersebut.

iv. Himonim:
Bukit yang aku daki sebentar tadi sangat tinggi. Aku bersa sangat letih kerana mengeluarkan banyak peluh sehingga badanku dipeluhi dengan daki.


Hubungan Dari Segi Tatabahasa

Wacana berkualiti mesti memperlihat hubungan berdasarkan binaan tatabahasa. Ini dapat dilihat daripada penggunaan penanda gramatik seperti:

a. Kata hubung: menghubungkan di antara ayat dengan ayat atau perenggan dengan perenggan yang lain.

i. Berfungsi sebagai penghuraian:
Seterusnya, selain itu, pada sudut yang lain dan sebaliknya.

ii. Berfungsi sebagai pengembangan idea:
Seperti, dan, tetapi, oleh itu, kerana dan dengan.

iii. Berfungsi sebagai penambahan:
Sebelum, selepas, kemudian, berikutnya, pada masa dan ketika itu.

b. Kata rujukan: kata yang boleh menggantikan sesuatu sama ada benda atau manusia.

i Kata ganti nama:
Saya, dia, mereka, kami, kita, itu, ini dan siapa.

c. Peleburan dan penggantian: untuk mengelakkan pengulangan terhadap sesuatu maklumat daripada penyataan yang diberikan.

Contoh:



Ali menendang bola dengan laju manakala Hassan menendang dengan perlahan.
Ciri – ciri wacana

Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks.

Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “ Analisis Wacana “ pula terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu :
I. satuan bahasa
II. terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.

Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahaminapa yang didengar atau dibaca.

6.1 Tautan atau kohesi

Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.

Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.

“Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu berkesatuan”
(Halliday dan Hasan:1976)

Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata organization of language. Language can be explained as a multiple coding system comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put into wording and wording into sound or writing."

Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.

Contohnya:

1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.

2. Mereka ke sana untuk meminjam buku.

Dalam contoh di atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna dan difahami.


6.1.1 Jenis-jenis kohesi
6.1.1.1 Kohesi Leksikal
Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua cara bagi mencapai aspek kohesi leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi.
i) Reiterasi (Pernyataan Semula)
Reiterasi atau pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata, sinonim, superordinat dan kata-kata umum.

a) Pengulangan Kata
Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition. Kata yang sering kali diulang ini adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah kata yang amat penting bagi sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Kata isi ini boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau 'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di dalam intipati teks. Manakala cara yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang maka berkemungkinan teks itu akan terganggu sifat kesatuannya.
Dalam bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi ataupun sudut morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika kelas kata yang diulang itu tidak berubah.

b) Sinonim
Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan 'kata seerti'. Sinonim ini digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi pengulangan kata yang sama di dalam teks dan juga sinonim ini memberikan variasi kepada sesuatu teks. Sesetengah kata dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama.

c) Superordinat
Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada kata yang lebih umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'.
Contoh :
Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus dibuatkan kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk desa membuat kandang ternakan masing-masing.
(Tarigan, H.G. 1995: 146)
Superordinat bagi contoh di atas ialah kata umum yang merujuk 'kambing, kerbau, biri-biri, ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah kata khusus yang juga dikenali hiponim.

d) Kata-kata Umum
Kata-kata umum ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya.
Contoh :
Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang, sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya…
(Harun Aminurrashid. 2001:25)

ii) Kolokasi
Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis
b) dari sudut semantik.


a) Dari Sudut Sintaksis
Contoh :
Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni. Pada zaman Sultan Muhyiddin iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
(Harun Aminurrashid. 2001:19)

b) Dari Sudut Semantik
Contoh :
Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor. Kenderaan ini meliputi kereta, motosikal dan lain-lain.
(Tarigan, H.G. 1995: 136)

6.2 Runtutan atau koheren

Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

Contohnya:

Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.

Contohnya:

Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan.

6.3 Tujuan

Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.

6.4 Penerimaan

Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.

6.5 Maklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.

Contohnya:

(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.

(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.

Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.


6.6 Keadaan

Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.

Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan.

Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya.

Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat sebelumnya.

Contohnya:

“Kelmarin dia tidur sehari suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”

Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat. Misalnya:

“Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian daripada guru besar.”

Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi. Dalam tatabahasa tradisional, andaian digelar judul dan inferensi disebut ulasan. Inferensi manambah maklumat kepada andaian dan lazimnya bahagian ini diberi tekanan suara yang tinggi. Misalnya:

6.7 Interteks


Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.

Wednesday, 27 April 2016

LATAR BELAKANG WACANA

Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8 dan 12-18), wacana sebagai bidang kajian mempunyai sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban keagamaan yang mengkaji kitab agama, seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M. Malah, jika disoroti lagi, zaman suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih awal, seawal Nabi Adam.

            Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik awal oleh Aristotle (384-322 S.M.) melalui retorik dan seterusnya, aliran Stoik oleh Zeno pada 300 S.M.

Retorik klasik mula malap dengan munculnya linguistik sejarah dan perbandingan pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20 lahir aliran struktural yang mempengaruhi formalis Rusia dan strukturalisme aliran Praha seperti pada Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan tentang perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah lahir konsep struktur tema dan struktur maklumat yang menjadi asas runtutan teks.

Di Great Britain, telah berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan bahasa dengan persekitarannya melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika Syarikat pula terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis wacana oleh Harris (1952). Beliau menggunakan prosedur formal tentang penyebaran struktur kelas keserupaan yang melebihi ayat.

Analisis wacana moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya analisis struktural wacana di Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik yang dipelopori oleh Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb. Di Jerman pula, muncul aliran linguistik teks oleh Hartmann. Dan di Great Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional oleh Halliday yang seterusnya dikenali dengan linguistik sistemik. Halliday (1962) dalam artikelnya, “Descriptive Linguistics in Literary Studies”, dikatakan telah membuat penyataan awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman struktur wacana. Ruqaiya Hassan (1964) dalam tesis PhDnya memperkukuh konsep tautan Halliday tersebut. Pemuka aliran stratifikasi.

Gleason (1968), berpendapat dalam struktur wacana terdapat dua konstituen semologi, iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada dalam jalur peserta. Dekad 1960-an ini menandakan perkembangan awal analisis wacana moden yang lebih bersifat deskriptif dan struktural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Aliran ini bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa transformasi generatif.

Analisis wacana pada dekad 1970-an merupakan analisis secara sistematis dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan tentangan terhadap tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara terbitan yang besar dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). Mereka menghasilkan Cohesion in English yang oleh Brown dan Yule (1983:190) dikatakan paling komprehensif dan piawai dalam bidang tautan. Malah, dalam Sanat (2002:18) terdapat kesimpulan bahawa daripada 17 buah disertasi PhD di luar negara tentang tautan sehingga 1993, 15 buah daripadanya menggunakan kerangka sistemik Cohesion in English.

Dekad 1980-an dan awal 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan berkembang, dan pada waktu yang sama merencam dan mengkhusus. Antara terbitan yang besar dalam tempoh tersebut ialah Beugrande dan Dressler (1981), Introduction to Text Linguistics, Longacre (1983), The Grammar of Discourse, Halliday (1985), An Introduction to Functional Grammar, Martin (1992), English Text: System and Structure, dan Cook (1994), Discourse.



Jika dilihat perkembangan pada dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21, didapati analisis wacana memasuki tahap kritis seperti dalam Fairclough (1995,2001 dan 2003). Malah, beliau telah menghasilkan karya lebih awal daripada itu seperti Discourse and Social Change pada 1992. Seperti yang dinyatakan di atas, analisis wacana ini lebih menumpukan pada usaha membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa kerana bahasa dilihat sebagai representasi yang memproduksi dan mereproduksi makna.

PENGENALAN

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui batas ayat dan kajian tentang unit tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah dikemukakan.

Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:

a)      Wacana Jenis Lisan
Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan juga pendengar. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke kelas.

Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa dengan betul ketika bercakap.Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana.

b)     Wacana tulisan

Wacana Jenis Tulisan pula ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung. Contoh wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel, surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.

Wacana bukan sekadar di peringkat ayat, malahan meliputi perenggan, bab, buku dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan.
Sesebuah wacana tulisan yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggan dengan satu perenggan, bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan wacana yang utuh.

Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana dalam bahasa Melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda penghubung, penanda penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran.

Rencana di bawah adalah merupakan salah satu contoh wacana tulisan.

Contoh wacana tulisan :

Rencana Tajuk : Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing.

Oleh : Siti Aminah bt Kasim

Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan peluang pekerjaan yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga buruh yang mencukupi. Fenomena ini menyebabkan negara mengimport tenaga dari negara jiran. Sebaliknya, kemasukan tenaga buruh asing menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Kedatangan buruh asing secara beramai-ramai yang tidak disaring latar belakang mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang datang untuk mencari kesempatan. Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini datang untuk mencari rezeki terdapat pula mereka yang berniat jahat. Justeru itu, berlakulah jenayah seperti pencurian, rompakan, dan penipuan. Golongan jahat ini datang untuk mencari kesenangan dengan cepat. Oleh itu, kejadian rompakan dan kecurian kerapkali berlaku di mana buruh asing ramai didapati.

Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah pihak untuk lari dari kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka melakukan jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu dengan seteru lama mereka. Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh pergaduhan dan pembunuhan di kalangan buruh asing terutama sekali yang datang dari Indonesia dan Filipina.

Selain itu, di kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan untuk makan gaji tetapi untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka bekerja tetapi setelah beberapa lama mereka berniaga dengan membuka gerai. Mereka berniaga tanpa lesen dan kadang-kadang bersaing dengan peniaga tempatqan. Oleh sebab overhed mereka rendah, mereka berupaya menjual barang-barang mereka dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan pelbagai masalah kepada peniaga tempatan.

Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak boleh bersaing meninggalkan tempat perniagaan mereka. Tindakan ini menambah pula peniaga saing seperti di Chow Kit pada suatu ketika dahulu. Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba menganut budaya tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan. Kebanyakan daripada mereka berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah mengumpulkan wang dengan banyak mereka balik ke negara asal mereka dan meninggalkan anak-anak dan isteri mereka. Fenomena ini jika tidak dikawal sudah pasti menimbulkan masalah sosial dan membebankan negara.



Rancangan jangka pendek untuk mengisi kekosongan di kilang, tapak pembinaan, ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya membawa masalah yang berat. Andainya, pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan yang ketat dan saringan yang teliti perlulah diambil oleh pihak yang berwajib. (+348 patah perkataan).

Monday, 25 April 2016

CIRI WACANA

CIRI- CIRI WACANA 

Wacana mempunyai tujuh ciri iaitu perlu dikaji kaitan penutur dengan masyarakat sekitarnya. Gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal ditentukan oleh kaitan antara penutur dengan masyarakat sekitarnya. Karya menggunakan gaya bahasa yang sesuai kepada para pembaca. Adakalanya, gaya bahasa yang digunakan mampu menimbulkan kesan dialek social ( laras bahasa ) dalam pertuturan. 

Wacana juga harus mempunyai tujuan yang menentukan jenis ayat. Jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat tanya. Penulisan bertujuan untuk pembaca menilai dan mengenalpasti hubungan hasil bacaan dengan pembaca. 

Ciri wacana yang seterusnya ialah berdasarkan kaitan penutur dengan pendengar. Wacana lisan adalah perkaitan antara penutur dengan pendengar, manakala wacana tulisan adalah kaitan antara penulis dengan pembaca. 

Maklumat yang bertentangan tidak boleh dimuatkan dalam wacana. Contohnya : Kelmarin dia tidur sehari suntuk. Kelmarin dia tidur hingga jam 9.00 pagi. 

Selain itu, wacana perlu mempunyai unsur - unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan sebagainya. Ayat- ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat. Penulis berkesempatan menentukan etika dan prosedur penghasilan penulisan. Ayat- ayat yang dihubungkan dengan menggunakan penanda wacana agar ayat- ayat tersebut berkohensi ( makna tautan ) dan koherens ( logik ). Ayat tautologi ( ayat yang sudah dinyatakan sebelumnya) tidak perlu diulang. 

Wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian, manakala maklumat berikutnya disebut inferensi. Kebiasaannya satu ayat hanya mempunyai satu inferensi sahaja. Tetapi adakalanya, andaian dapat ditentukan oleh pembaca tanpa ditulis. 

Wacana hendaklah ada maklumat baru. Ayat- ayat yang mengesahkan kebenaran ayat sebelumnya tidak boleh dimasukkan dalam satu wacana. Hasil penulisan hendaklah bersifat kenyataan , logik dan realistik , bukanlah rekaan individu semata- mata.

KONSEP WACANA 1

Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada bahasa Latin discursus yang bermakna ‘larian ke dan dari’. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau sintaksis.

Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik merujuk kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang terdiri daripada peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep wacana kabur kerana tentang fenomena yang rencam. Namun, wacana menurut beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.

Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et. al (2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang. Kepada ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat. Malah, definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama.

Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Sebagai kajian, wacana memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial.

Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses memecahkan wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar metodologi.

Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis se-bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan kuasa sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan dipertahankan melalui wacana dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis mengambil pendirian yang jelas untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.

Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana. Analisis wacana pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang melihat bahasa sebagai jambatan antara manusia dengan objek di luar dirinya. Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak melihat makna subjektif atau nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan dilihat sebagai kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan tatabahasa, seperti tautan dan runtutan.

Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang memisahkan subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan wacana serta hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud tertentu dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu analisis untuk membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek.

Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada proses produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional. Bahasa dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang berpe-ranan dalam membentuk subjek tertentu, topik wacana tertentu, mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa.

Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada makna penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial yang ada dalam setiap proses bahasa.

Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).


Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.