Thursday 28 April 2016

ANALISIS WACANA KRITIS UCAPAN NAJIB RAZAK SEMPENA HARI PENJAWAT AWAM 2014: PENDEKATAN TEORI TIGA DIMENSI FAIRCLOUGH



ANALISIS WACANA KRITIS UCAPAN NAJIB RAZAK SEMPENA HARI PENJAWAT AWAM 2014: PENDEKATAN TEORI TIGA DIMENSI FAIRCLOUGH

PENGENALAN
Bahasa adalah objek kebudayaan yang berpengaruh dalam kehidupan manusia (Idris Aman, 2008). Penulis beranggapan bahawa ucapan ini merupakan satu cara bahasa diuruskan oleh manusia politik untuk mencapai hasrat ‘memimpin’. Penggunaan wacana yang baik dalam sesebuah ucapan yang disampaikan oleh pemimpin masyarakat mencerminkan transformasi bahasa yang berkesan. Hubungan antara bahasa dengan proses sosial dapat diperlihatkan dalam wacana kepimpinan. Analisis wacana mampu meneliti cara seseorang pemimpin menggunakan bahasanya untuk membina mesej linguistik dan disampaikan kepada khalayak (Ahmad Mahmood Musanif & Arbak, 2001). Bagi Idris Aman (2001) wacana sangat penting dalam aspek politik yang sebahagiannya merupakan proses kepimpinan. 

Bagi Fairclough (1995), bahasa merupakan media bagi manusia dalam berkomunikasi. Melalui bahasa, manusia dapat mengungkapkan idea, fikiran dan perasaannya. Dalam masyarakat moden, bahasa telah berkembang sesuai dengan fungsinya bukan hanya sebagai alat komunikasi, namun lebih daripada itu, bahasa telah menjadi media perantara dalam pelaksanaan kuasa melalui ideologi. Bahkan bahasa juga menyumbang kepada proses dominasi terhadap orang lain oleh pihak lain.

KERANGKA DAN PENDEKATAN KAJIAN
Idris Aman (2008) analisis bahasa merupakan satu perspektif analisis wacana yang mempertalikan cara bagaimana bahasa diguna-gemblengkan bagi sesuatu proses sosial tertentu yang mungkin terselindung di dalamnya. Kajian ini menerapkan kerangka analisis wacana kritis pendekatan Fairclough bagi memperlihatkan praktis kepimpinan Najib Razak. Kerangka teori ini menjurus kepada persoalan sosial yang tumpat dalam wacana ucapan untuk menjelaskan hubungan kuasa dan memperlihatkan perkaitan praktikal dalam konteks ekonomi, sosial, budaya dan politik yang merupakan perkara utama dalam pembentukan sesebuah teks (Idris, 2010). Penggunaan kerangka teori analisis wacana kritis dalam menganalisis wacana kepimpinana Najib Razak akan memperlihatkan kemampuan bahasa dalam menyingkap kepimpinan seorang pemimpin. Pengucapan ini akan ditafsirkan selaras dengan gahnya tema yang diberikan berdasarkan pendekatan analisis wacana kritis.

Analisis wacana yang dibawa oleh Fairclough memberi penekanan kepada keseluruhan teks tersebut dan istilah utama yang diguna pakai ialah “bahasa”. Fairclough (1995), ciri khas pendekatan wacana kritis ialah hubungan antara amalan sosiobudaya dengan suatu teks itu. Dalam hal itu, analisis wacana kritis memberikan perhatian terhadap cara suatu teks dihasilkan atau ditafsirkan. Apakah dan bagaimanakah hubungan antara amalan sosiobudaya dengan teks diartikulasikan bersama-sama, bergantung pada sifat daripada sosial budaya. Secara ringkasnya, pendekatan Fairclough menjelaskan wacana secara sepadu dari tiga dimensi utama iaitu; (i) analisis teks, iaitu pemerihalan tentang teks, (ii) analisis amalan wacana, iaitu penafsiran hubungan proses wacana dan teks, dan (iii) analisis praktis sosial, iaitu penjelasan hubungan antara proses wacana dan proses sosial (Idris Aman, 2006). 

Merumuskan berkenaan teori ini, Idris (2006) menjelaskan analisis wacana kritis merupakan satu pendekatan yang melihat wacana sebagai sebahagian proses sosial yang terdapat dalam masyarakat umum. Ringkasnya, teori yang dimajukan oleh Fairclough menggabungkan bukan sahaja analisis linguistik, tetapi juga elemen-elemen sosial dan budaya yang sentiasa berada dalam lingkungan kehidupan masyarakat. Teori analisis wacana kritis berpandangan bahawa di dalam kebanyakan wacana tersirat proses sosial tertentu yang menyebabkan wacana itu dihasilkan sedemikian adanya oleh pewacananya (Idris, 2004). Fairclough (1992), menyatakan analisis dimensi tekstual melibatkan analisis linguistik atau huraian penggunaan yang meliputi bentuk atau sifat teks iaitu; (a) nahu klausa; (b) kosa kata; (c) struktur generik; (d) daya ujaran; (e) leksikal; (f)kohesi, dan (g) koheren yang dimanfaatkan. Dimensi kedua pula ialah amalan pemprosesan wacana adalah interpretasi cara (a) penghasilan wacana/teks yang melibatkan interdiskursiviti dan intertekstualiti; (b) penyebaran yang melibatkan penghasilan semula atau transformasi; (c) penggunaan; dan (d) syarat amalan wacana. Dimensi ketiga ialah proses sosial yang merupakan penjelasan tentang hubungan antara proses diskursif dan proses sosial. Ia menjelaskan persoalan sosial yang melibatkan beberapa aspek. Rajiman Junaidi dan Zaitul Azma Zainon Hamzah (2014), menyatakan ketiga-tiga aspek dimensi sebenarnya mempunyai hubungan antara satu sama lain. Hubungan  dialektikal antara teks dengan praktis sosiobudaya hadir melalui perantaraan amalan wacana. 

Kajian ini merupakan satu usaha untuk menerapkan kerangka analisis wacana kritis yang diusahakan oleh Fairclough. Critical discourse analysis (CDA) menyediakan teori dan kaedah untuk kajian secara empirikal berkenaan hubungan antara wacana dan aspek sosial. Teori Fairclough ini menganalisis wacana secara holistik iaitu keseluruhan aspek wacana akan diselidiki dan diteliti, tanpa mengabaikan bahagian-bahagian tertentu wacana. Dalam analisis ini, proses sosial yang diberi perhatian ialah cara pemerolehan kepercayaan atau pemerintahan pemimpin melalui bahasa-wacana. Wacana, iaitu teks ucapan Najib Razak sempena Hari Penjawat Awam 2014 dianalisis melalui teknik pencerakinan semula strukturnya, iaitu dengan mengupas ciri tekstualnya. 


WACANA KAJIAN: TEKS UCAPAN NAJIB RAZAK SEMPENA HARI PEKERJA PENJAWAT AWAM 2014

Teks ucapan yang dianalisis ini disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak Sempena Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada 1 Mei 2014. Perhimpunan ini adalah anjuran bersama kerajaan negeri Kedah, CUEPACS dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun tersebut tema yang dipilih ialah “Penjawat Awam: Ting Seri Negara”. Penggunaan bahasa dalam ucapan Najib Razak akan memperlihatkan kemantangan beliau dalam berucap. Menurut Rohaizah Ab Karim (2014) bahasa yang dimanfaatkan dalam ucapan pemimpin yang menjadi medium untuk mengalirkan ideologi, mempengaruhi khalayak serta membentuk imej diri, sebenarnya mempunyai kuasa yang wujud di sebalik makna bahasa menyebabkan pemimpin perlu bijak memilih, menyusun dan menggunakan bahasa.

PENDEKATAN ANALISIS DIMENSI TEKSTUAL
Di dalam analisis ini, tiga ciri tekstual utama ucapan tersebut telah dikenal pasti sebagai menyumbang secara bersepadu dalam proses pembinaan praktis kuasa politik oleh Najib Razak. Ciri tekstual berkenaan ialah nahu, kosa kata, kohesi, perulangan leksikal, dan struktur generik teks. Berikut dibincangkan dengan lebih lanjut setiap ciri tersebut.

NAHU
Mengikut Fairclough (1992)  dalam Idris (2008) dimensi analisis nahuan dibahagi kepada tiga, iaitu transiviti, tema, dan modaliti. Analisis nahu ucapan ini melihat aspek aspek nahuan iaitu, transitiviti dan modaliti. Berikut dibincangkan unsur kenahuan yang ketara di dalam ucapan tersebut.

TRANSITIVITI
Analisis transitiviti merujuk dimensi ideolisme nahu klausa seperti yang dijelaskan dalam linguistik sistemik Halliday (Idris, 2008). Tujuannya adalah melihat sama ada jenis proses, pameran, dan pilihan suara tertentu digemari di dalam teks, sama ada aktif atau pasif (Fairclough, 1992). Analisis teks ucapan ini didapati suara (klausa) aktif paling dominan berbanding pasif yang sedikit digunakan. Klausa aktif berstruktur Pelaku+Proses+Pelengkap. Dengan struktur demikian, klausa aktif mengutamakan Pelaku atau Tema (Halliday dalam Idris Aman, 2008). Dalam teks ini, kerajaan, saya, dan kita paling dominan digunakan sebagai Pelaku bermaksud pewacana benar-benar mahu menaikkan imej pemimpim/pemerintah. Misalnya, dalam klausa “….kita telah menggabungkan kekuatan dan keupayaan polis serta tentera yang melibatkan penggunaan fasiliti, rondaan, operasi bersama”. (hlm. 3). Pelakunya ‘kita’, prosesnya ‘menggabungkan’, dan pelengkapnya ialah unsur selebihnya. Dengan struktur klausa sedemikian, ini juga membayangkan bahawa Najib Razak memang menyedari akan kepentingan mengurus bahasa dalam merekabentuk wacana ucapan. Jadual 1 menunjukkan beberapa contoh analisis transitiviti.

Transitiviti Klausa Aktif

1. saya memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional untuk membolehkan negara keluar daripada perangkap ekonomi berpendapatan sederhana dan seterusnya mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. (hlm. 4)
2. kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, daripada memberikan subsidi secara pukal kepada subsidi bersasar bagi kelompok yang benar-benar memerlukan….(hlm. 4)

3. kita berhimpun demi meraikan penjawat awam yang banyak membantu membangunkan negara, ada pula perhimpunan membantah GST, yang dirancang oleh pihak yang tidak bertanggunjawab…(hlm. 4)

MODALITI
Tujuan analisis modaliti adalah untuk menentukan pola darjah hubungan atau fungsi interpersonal yang dibina di dalam teks (Fairclough, 1992). Di dalam teks ucapan ini kedua-dua modaliti, iaitu aspek dan ragam dimanfaatkan. Bagaimanapun, modaliti aspek lebih banyak berbanding modaliti ragam, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2. Modaliti aspek lebih banyak dimanfaatkan kerana sifat ucapan itu sendiri yang perlu ‘promosi diri’. Modaliti aspek adalah berkaitan masa, sama ada membawa makna akan, sedang, atau telah berlaku (Asmah, 1980). Ketiga-tiga modaliti masa ini dimanfaatkan dengan telah paling kerap, iaitu sebelas kali, akan (4 kali), terus (2 kali), dan masih (2 kali). Modaliti telah menekankan pencapaian lalu, manakala modaliti akan dimanfaatkan untuk menekankan komitmen. Modaliti ‘sedang’ (terus, masih) menekankan kesinambungan komitmen.

(ASPEK)
telah (11 kali)
1. Tentunya, saya yakin kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua melambangkan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan. (hlm. 1)
2. Berhubung lawatan penting ini, kita sebagai rakyat Malaysia, kita kadangkala alpa dengan kepesatan kemajuan dan kejayaan yang telah kita capai. (hlm. 2)
3. Kita telah berjaya mempamerkan sebuah Malaysia yang makmur dan maju. (hlm. 2)
4. Membuktikan kepimpinan negara sejak merdeka telah berjaya membawa kita berada di landasan yang benar. (hlm. 2)
5. Kerajaan sebetulnya telah berusaha sebaik mungkin dalam membangunkan negara. (hlm. 2)
6. Perkhidmatan awam telah menunjang negara ini pra dan pasca kemerdekaan, dengan menempa begitu banyak kecemerlangan dalam perkhidmatan. (hlm. 3)
7. Kita telah menggabungkan kekuatan dan keupayaan polis serta tentera. (hlm. 3)
8. Ahamdulillah, kesemua program di atas telah membuahkan hasil yang memberangsangkan. (hlm. 4)
9. Saya dimaklumkan kedua-dua agensi ini telah berjaya mencapai sasaran ‘quick wins’ sepertimana yang telah ditetapkan. (hlm. 4)

akan (4 kali)
1. Kepimpinana  baharu CUEPACS akan lebih dinamik dan berdaya maju (hlm. 1)
2. Kita percaya GST adalah satu sistem percukaian terbaik setakat ini dan pastinya dengan pelaksanaan tersebut akan dapat menangani kelemahan sistem percukaian sedia ada. (hlm. 4)
3. Biarlah pembangkang tak habis-habis mencari seribu jalan untuk memperlekehkan kita, tapi saya…selaku PM bersama penjawat awam yang setia, akan merintis sejuta jalan demi kemakmuran bersama. (hlm. 4)
4. Penjawat awam dari hari ke hari semakin diyakini akan kemantapan pasukannya (hlm. 5)

terus (2 kali)
1. Sebaliknya, kerajaan ini terus membela penjawat awam. (hlm. 2)
2. Kadar kemiskinan terus menurun daripada lebih enam puluh peratus (hlm. 4)
RAGAM
perlu (3 kali)
1. Kesemua langkah tersebut perlu disokong sepenuhnya oleh para pekerja semua. (hlm. 4)
2. Penjawat awam perlu peka mengenai cabaran-cabaran yang harus ditempuhi supaya negara sentiasa berada dalam keadaan kompetitif. (hlm. 6)
3. Kita perlu mempersiagakan generasi pelapis penjawat awam pada masa depan. (hlm. 6)

harus (2 kali)
1. Lanjutan itu, peranan dan pendekatan kerajaan juga harus turut berbeza. (hlm. 5)
2. Penjawat awam juga seharusnya menerima realiti bahawa hambatan masa dan kehendak zaman berubah dengan cepatnya (hlm. 5)


Modaliti ragam pula berkaitan suasana perbuatan atau keadaan yang dirujuk oleh kata kerja leksikal (Asmah, 1980). Dalam ucapan ini, dua jenis modaliti ragam dimanfaatkan, iaitu perlu dan harus. Kurangnya modaliti suasana digunakan adalah sesuai dengan temanya iaitu ‘Penjawat Awan: Tiang Seri Negara’.

KOSA KATA
Analisis kosa kata menjurus kepada ‘kata kunci’ yang signifikan dengan proses kuasa. Dalam analisis ini pada hemat penulis, satu kata kunci yang bersepadu yang secara tidak langsung menjurus kepada proses kuasa ialah ‘kerajaan’ yang muncul 17 kali. Dalam teks tersebut kata kerajaan juga dianggap sebagai kata nama khas kerana ditulis dengan huruf besar dipanggalnya (Kerajaan). Dengan kata lain, ucapan ini memanfaatkan kata ini bagi memperlihatkan kesungguhannya kepada penjawat awam dalam memperoleh kepercayaan orang awam terhadap pemerintahan Najib Razak. Kesungguhan itu meliputi pelbagai bidang seperti yang disebutkan di dalam ucapan itu. Berikut dikemukakan beberapa contoh penggunaan kata tersebut.
1. Kerajaan sebetulnya telah berusaha sebaik mungkin dalam membangunkan negara. (hlm. 2)
2. Kesemuannya ini adalah cerita-cerita kejayaan Malaysia, yang diterajui oleh Kerajaan sekarang. (hlm. 4)
3. ….lebih bertujuan untuk memberi persepsi negative dan memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan demi popularity dan agenda peribadi mereka. (hlm. 4)
4. Kerajaan kini bukan sekadar mentadbir untuk rakyat, tetapi juga mentadbir bersama rakyat….(hlm. 5)
5. ….menangkis dan memperbetulkan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang cuba untuk memburuk-burukkan Kerajaan. (hlm. 6)

Dalam menganalisis teks ucapan Najib Razak ini, didapati pewacana menyampaikan beberapa perkara yang boleh terbentuknya proses sosial. Antaranya, dari segi kepimpinan, sosialisasi, pendidikan, solidariti, kerjasama, kuasa, transformasi sosial, dan ideologi. Bentuk ideologi adalah struktur makna yang tidak terpisah daripada set praktis sosial (Idris Aman, 2010, hlm. 120). Seseorang penganalisis perlu juga mengambil kira bagaimana teks ditafsir dan diterima dan apa kesan sosial teks berkenaan (Wodak, 1996 dalam Idris, 2010). Proses sosial yang ditemui dalam teks ucapan ini ialah lebih kepada kepimpinanan. Selain itu, analisis ucapan ini merumuskan bahawa ucapan Najib Razak ini bersifat ‘promosi diri’ kepada khalayak. 

KOHESI
Penggunaan ayat-ayat digembleng secara bersepadu dengan memanfaatkan alat-alat kebahasaan bagi menghasilkan wacana yang baik. Penghasilan suatu wacana yang utuh, mesti mempunyai tujuan, kohesi, koheran, penerimaan, maklumat, keadaan dan intertekstualiti (Beaugrande & Dressier dalam Radiman Junaidi et al. (2014). Kohesi merujuk kepada aspek keserasian hubungan antara perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan dalam wacana. Teks ini menunjukkan pewacana memanfaatkan tautan dengan rujukan kata ganti nama diri (KGND) ‘saya’ dan ‘kita’ menjadi pilihan yang utama pewacana dan memperlihatkan sifat inklusif yang mewujudkan perasaan dan menunjukkkan bahawa pewacana mahu mempamerkan keakraban dengan khalayak.  Malahan, kata ganti diri saya dan kita digunakan secara berulang kali bagi menonjolkan diri pewacana. Terdapat 16 KGND ‘saya’ dijumpai dalam teks ini.

Tautan Rujukan Kata Ganti Nama Diri
Dalam analisis rujukan diri ini didapati terdapat tiga rujukan diri dalam teks ucapan yang dianalisis didapati bersifat anaforik dan kohesif. KGND pertama dan ketiga yang ditemui ialah kita dan mereka. 
1. (a) Sebaliknya, kerajaan ini terus membela penjawat awam.
(b) Malahan, kita sentiasa berusaha mengislahkan penjawat awam daripada….
KGND pertama kita dalam ayat (b) adalah merujuk kepada kerajaan dalam ayat (a). Hubungan ini menunjukkan kohesif kerana mempunyai tautan.
2. (a) Penjawat awam hendaklah memastikan mereka sentiasa berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan mampu menjadi….
(b) Mereka juga mesti meluaskan pembacaan, mengasah pemikiran, mempergiatkan latihan dan meningkatkan amalan budaya ilmu.
Contoh ayat 1, ‘mereka’ pada ayat (b) merujuk secara anafora ‘penjawat awam’ dalam ayat (a). Ini menunjukkan ayat ini adalah kohesif iaitu mempunyai tautan antara ayat pertama dan kedua. 
3. (a)  Amalan kerja terbaik adalah cerminan kewibawaan bagi penjawat awam.
(b) Mereka ini mesti bersungguh dan sentiasa serius dalam pekerjaan, fokus, disiplin…
Dalam ayat (2), ‘mereka’ dalam (b) merujuk secara anafora bagi ‘penjawat awam’ dalam ayat (a). Tautan teks terhasil daripada rujukan anafora ini kerana KGND ketiga iaitu mereka terdapat dalam klausa yang berasingan.

Daripada analisis wacana kritis ini didapati KGND ‘kita’ menjelaskan dua maksud. Pertama, sebagai pihak kerajaan dan kedua, sebagai penjawat awam. Contoh ayat yang menjelaskan pihak kerajaan ialah:
1. Tapi tak mengapalah, biarlah pembangkang tak habis-habis mencari seribu jalan untuk memperlekehkan ‘kita’, tapi saya...selaku Perdana Menteri….(hlm. 4)
2. Tambahan lagi, dalam peranan ‘kita’ mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan menjadi satu lagi trajektori dalam menempatkan....(hlm. 2)
Contoh ayat yang menjelaskan kita sebagai penjawat awam;
1. Makanya, penjawat awam juga seharusnya menerima realiti bahawa hambatan masa dan kehendak zaman berubah dengan cepatnya di kala ‘kita’ meneruskan kehidupan. (hlm. 5)
2. Memang benar, dalam penjawat awam ada kaedah dan sistem penilainya, tetapi prinsip/kriteria ini adalah pengukuhannya untuk ‘kita’ mendakap transformasi dan bergerak ke hadapan bagi tempoh….(hlm. 5)

PERULANGAN LEKSIKAL
Perulangan leksikal yang dimanfaatkan oleh Najib Razak dalam ucapannya.
“Lanjutan itu, peranan dan pendekatan Kerajaan juga harus turut berbeza. Hari ini, bukan lagi Kerajaan yang menentukan segalanya. Kerajaan kini bukan sekadar mentadbir untuk rakyat, tetapi juga mentadbir bersama rakyat, membina rangkaian, memudahcara perkhidmatan dan memfokus kepada keberhasilan yang besar serta pantas.”
Perulangan kata ‘kerajaan’ yang digunakan menunjukkan pewacana ingin mempromosikan kerajaan dan kepimpinannya menyumbang kepada pembagunan negara yang digemblengkan bersama-sama rakyat.

STRUKTUR GENERIK TEKS UCAPAN
Struktur generik teks ialah “the overall structure or organization of a text”. Analisis struktur generik adalah berkenaan nilai strategi genre yang bersifat tujuan-terpandu (Fairclough, 2003). Pada hemat penulis, struktur generik teks ucapan Najib Razak ini dibina daripada lima substruktur. Ucapan itu bermula dengan tema, diikuti sejarah, penyataan kejayaan, penyataan prinsip, dan akhir sekali permintaan. Setiap substruktur itu mempunyai peranan dalam memberi keyakinan dan pemahaman akan keupayaan kepimpinan Najib Razak dalam menerajui negara. Setiap substruktur digembleng bagi mencapai hajat tersebut.
Tema memuatkan teras yang perlu dipegang oleh semua penjawat awam dibawah pimpinan Najib Razak. Tema Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 ialah Penjawat Awam: Tiang Seri Negara. Dalam struktur ini, Najib Razak memperkatakan mengenai kepentingan penjawat awam dan kerajaan dalam memajukan negara seterusnya tenaga kerja utama di bawah pemerintahan pewacana. Tema ditempatkan di bahagian atas halaman 1 dengan tulisan saiz besar. Substruktur kedua ialah sejarah. Di dalam ucapan ini, pewacana turut menceritakan mengenai sejarah perkhidmatan awam secara ringkas. Substruktur ketiga ialah kejayaan. Dalam memancing kepercayaan, pewaca menggunakan episode-episod kejayaan yang dikecapi oleh penjawab awam berdasarkan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku. Pewaca menggariskan tiga kejayaan yang utama iaitu;
1. Penjawat awam adalah nadi kekuatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 ini. (hlm. 3)
2. ATM dan PDRM dan semua jabatan serta agensi, bekerjasama mempertahankan negara, tampil berkorban demi memastikan keamanan negara dapat dipertahankan sehingga sekarang. (hlm. 3)
3. Kejayaan negara dalam National Blue Ocean Strategi dan kejayaan dalam penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar dan Pusat Transformasi Bandar. (hlm. 3)
Substruktur keempat ialah prinsip iaitu digariskan lima (5) prisip asas ‘Tiang Seri Negara’ 2014, iaitu:
Berilmu
Kebolehpercayaan
Budaya Amalan Kerja Terbaik
Semangat Patriotik
Budaya Keberhasilan Yang Berteraskan ‘Outcome Based’.

Prinsip dimuatkan dalam halaman 5. Selepas penyataan setiap prinsip disenaraikan pula intipatinya. Prinsip (1) mempunyai enam intipati dan empat intipati bagi prinsip (2). Manakala prinsip (3) mempunyai tujuh intipati dan bagi prinsip (4) dan (5) masing-masing mempunyai satu intipati. Substruktur akhir ialah permintaan. Permintaan dikemukakan dalam satu ungkapan ‘Mempersiagakan Generasi Pelapis Penjawat Awam/Pekerja Negara Hari Muka’. Penempatannya dalam bahagian dan halaman akhir adalah sebagai perumus tentang segala apa yang telah diperkatakan.

Selain itu, penulis juga mengenal pasti pewacana turut tertumpu pada struktur generik makluman dan tindakan. Struktur generik tindakan yang dikenal pasti menunjukkan bahawa tertanam ideologi kepimpinan dalam pentadbiran yang diterajuinya. Contoh ayat yang menunjukkan pewacana mempromosi diri;
“Ingatlah kita tidak sampai di sini dengan tiba-tiba, kesemuanya ini hasil ikhtiar siapa? Berlakunya pembangunan pesat kepada negara selama ini usaha siapa? Semestinya, hasil usaha mahsul kegigihan kerajaan…”
“Hakikatnya, ini semua adalah indikasi yang membuktikan bahawa kepimpinan negara sejak merdeka adalah berjaya membawa kita berada di landasan yang benar. Kerajaan sebetulnya telah berusaha sebaik mungkin dalam membangunkan negara. Kerajaan ini jugalah yang sentiasa berikhtiar untuk menambah bilangan penjawat awam, sedangkan pembangkang, hanya ingin membuang tuan-tuan dan puan-puan hingga separuh daripada jumlahnya.”
Perkataan ‘kerajaan’ dan ‘kepimpinan negara’ yang digunakan oleh pewacana adalah merujuk kepada dirinya dengan maksud ‘promosi diri’. Tujuan adalah bagi menggambarkan bahawa di bawah kepimpinan beliau, negara dapat membangun dengan pesat. Pewacana bijak dalam mengolah perkataan dan pewacana tidak terus menggunakan KGND ‘saya’ tetapi sebenarnya ia adalah merujuk kepada pewacana.

RUMUSAN
Selaras perkembangan dunia bahasa semasa, analisis wacana kritis meneroka ke suatu tahap kajian yang lebih fleksibel dan tidak hanya melihat kepada sistem, struktur mahupun tatabahasa semata-mata. Persoalan sosial dan budaya dalam wacana telah dapat ditafsirkan sewajarnya melalui analisis wacana kritis. Melalui teks ucapan ini, Najib Razak lebih menjurus kepada ‘promosi diri’ yang dapat dilihat daripada unsur nahu, iaitu melalui transitiviti dan modaliti. Frasa nama saya, kerajaan atau pihak kerajaan, dan kita yang kerap digunakan sebagai subjek dilihat menonjolkan diri pewacana. Selain itu, dominasi modaliti aspek dalam ucapan dilihat mempunyai hubung kait dengan komitmen pewacana.


RUJUKAN
Ahmad Mahmood Musanif & Arbak. (2001). Teori Linguistik. Kuala Lumpur: Penerbit Sarjana.
Asmah Haji Omar. (1980). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fairclough. N. (1995). Critical Discourse Analysis: The Critical Study of Language. London: Longman.
Fairclough. N. (1992). Discourse and Sosial Change. Chambrige: Polity Press.
Fairclough. N. (2003). Analysis Discourse: Textual Analysis for Social Research. London: Routledge.
Idris Aman. (2001). Analisis wacana kritis perutusan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Tesis PhD. Universiti Malaya.
Idris Aman. (2006). Bahasa dan Kepimpinan: Analisis Wacana Mahathir Mohamad. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Idris Aman. (2008). Bahasa dan Kuasa: Analisis wacana barisan nasional dalam pilihan raya umum Malayisa ke-11.  Akademika72 4(1), 69-96.
Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Radiman Junaidi & Zaitul Azma Zainon Hamzah. (2009). Wacana kepimpinan dalam ucapan Abdullah Ahmad Badawi. Jurnal Bahasa, 128-150.
Rohaizah Ab Karim. (2014). Analisis wacana ucapan Perdana Menteri Malaysia keenam sempena 100 hari menakhoda negara. Disertasi Sarjana. Universiti Malaya.





Monday, December 28, 2015


Peribahasa

1. Alangkah baik beristeri tua, perut kenyang pengajaran datang
Maksud: Orang beristeri tua biasanya beroleh kesenangan kerana disayangi oleh isterinya.
Alangkan baik (= elok) berbini tua, perut kenyang pengajaran (= pemanja) datang.


2. Batik Samarang, makin dicuci makin terang
Maksud: Makin digilap dan diasah bakat/ilmu, makin tinggi kualiti ilmu/bakat seseorang
Maksud ke-2: Perempuan janda yang lebih cantik daripada semasa gadisnya.
Contoh : buah kelapa tua (Semakin tua kelapa, semakin banyak isi/hasil)
Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu berasal daripada peribahasa Indonesia


3. Bersunting bunga keduduk: berdiri tidak sama tinggi, duduk tidak sama rendah
Penerangan:
Keduduk atau senduduk ialah sejenis pokok renek yang terdedah kepada cahaya matahari. Bunga senduduk berwarna ungu muda dan cantik tetapi tidak bernilai. Seseorang itu dikatakan bersunting atau memakai bunga keduduk yang tidak bernilai itu. Hal ini telah memperlihatkan perbezaan darjat, iaitu berdiri tidak sama tinggi dan duduk pula tidak sama rendah.
Maksud: Suami isteri yang tidak sama darjat keturunannya
Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu


4. Sekali dipatuk ular, tali pun ditakutkannya juga
Penerangan:
Jika seseorang itu pernah dipatuk ular tentu dia akan berasa takut dan bimbang. Malah apabila melihat sesuatu yang menyerupai ular seperti tali pun disangkakan ular dan ditakutinya juga.
Maksud: Orang yang telah pernah menderita kesusahan (kecelakaan), maka berhati-hatilah ia dalam semua gerak-gerinya. (Peribahasa lain yang sama makna: Sekali tersengat, selalu beringat).


5. Kerbau jangan dimaling orang, ayam jangan dicuri  musang.
Penerangan:
Pemikiran Melayu yang mengaitkan isu-isu tentang tingkah laku dan moral manusia. Persoalan moral mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dengan manusia dan nilai-nilai moral ini adalah bersifat relatif, subjektif dan sementara. Malah segala tindakan ahli masyarakat yang wajar dilakukan dan yang tidak wajar dilakukan juga diungkapkan dalam peribahasa Melayu sebagai pengajaran dan teladan supaya ahli masyarakat dapat mempraktisnya demi mencapai kesejahteraan hidup.
Maksud: Jagalah isteri dengan baik supaya tidak dilarikan orang lain / Anak dan isteri hendaklah dijaga dengan baik-baik


6. Cerai tidak bertalak, bernikah tidak berkadi
Penerangan:
Suami isteri yang bercerai mestilah telah dilafazkan talak. Kalau bernikah mestilah ada kadi. Walau bagaimanapun, jika tidak ada semua itu bermakna tidak pernah berlaku pernikahan dan pasangan itu boleh bercerai dan berbaik semula sesuka hati mereka.
Maksud: Bersekedudukan tanpa nikah
Contoh ayat: Pada zaman sekarang banyak pasangan muda-mudi bercerai tidak bertalak, bernikah tidak berkadi kerana tidak tahu akan dosa dan pahala lagi.


7. Gajah seekor, gembala berdua
Maksud: Sesuatu pekerjaan dikepalai oleh dua orang; dua orang lelaki mencintai seorang perempuan.


8. Kepala rebah melayang, bantal bangkit main wayang
Maksud:
Perempuan yang membuat kejahatan ketika suaminya lengah. (Peribahasa lain yang
sama makna: a. Mata kejam, bantal membuat ragam, b. Mata tidur, bantal berjaga).
Dalam ragam tingkah laku.
Sumber:
Kamus Istimewa Peribahasa Melayu


9. Kasih bapa mencambah harta yang ada, kasih emak sama rata, kasih sahabat sama binasa
Maksud:
Kasih yang sama beradalah kasih yang sempurna, sebab biar bagaimanapun kasih seseorang itu akan kawannya namun kerana harta akan bercerai juga akhirnya.
 

10. Di belakang ia menendang kita, apabila di depan menjeling kita, jika ia berpusing ligat pula
Penerangan:
Peribahasa ini mengehalkan sesuatu yang berada di belakang kita, sesuatu itu akan menendang. Apabila berada di hadapan akan menyakitkan urat keting kita dan apabila berada di tengah-tengah akan berpusing ligat sehingga tidak terpegang. Keadaan tersebut menunjukkan serba tidak kena.
Maksud:
menghadapi orang yang kita kasihi yang menyebabkan kita menjadi serba salah.
Contoh ayat:
Ayu berasa serba salah untuk menegur perangai anaknya yang kian liar itu, ditegur bimbang   akan melenting, tidak ditegur akan menjadi-jadi, dan kini Ayu berkeadaan seperti di belakang ia menendang kita, apabila di depan menjeling kita, jika ia berpusing ligat pula.

sumber:  klik sini


No comments:

Post a Comment