Pengupayaan Tatabahasa Wacana
Bahasa Melayu di Malaysia dan Singapura*
Pengenalan
Kertas ini bertujuan
untuk melihat pengupayaan tatabahasa wacana bahasa Melayu di Malaysia dan di
Singapura. Untuk itu, dikemukakan konsep pengupayaan dan konsep wacana,
analisis wacana dan hubungannya dengan konsep tatabahasa wacana. Dimuatkan
latar belakang ringkas wacana dan penelitiannya sama ada di luar negara atau di
dalam negara sebelum menjurus kepada tumpuan kajian kertas ini. Dari segi
tumpuan bahan, kertas ini mengambil perhatian bahawa di Malaysia hanya di
Rancangan Bahasa Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan seterusnya di
Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang
memulakan mata kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu sejak sesi 1993/1994.
Malah, pada sesi 2003/2004 kursus Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu Lanjutan
ditawarkan di jabatan tersebut. Oleh itu, penyelidikan dan penerbitan di jabatan
itu dijadikan asas analisis. Di Singapura pula hanya di Jabatan Bahasa dan
Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang
dijadikan asas penelitian memandangkan kursus analisis wacana baru dimulakan di
peringkat sarjana pada awal 2007 ini. Di akhir kertas ini, dimuatkan jangkaan
bidang ini di kedua-dua institusi dan negara.
Konsep
Konsep pengupayaan di
sini merujuk kepada usaha mewujudkan dan mengembangkan tatabahasa wacana bahasa
Melayu melalui penawaran kursus dan penerbitan. Wacana berasal daripada
perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono pula daripada woco
yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada bahasa
Latin discursus yang bermakna ‘larian ke dan dari’. Menurut Chafe, wacana
digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya
wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang
terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar ganti, dan
kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Dan,
wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut,
cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau
sintaksis. Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang
bersambungan oleh seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam
linguistik merujuk kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar
daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit
ini mempunyai status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang
terdiri daripada peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga.
Cook mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk
perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep wacana
kabur kerana tentang fenomena yang rencam.
Namun, wacana menurut
beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan komunikasi dan interaksi.
Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu peristiwa bahasa yang
sempurna yang mempunyai awal dan akhir. Menurut Johnstone, B. (2002:2-4),
wacana dilihat sebagai contoh sebenar komunikasi melalui bahasa. Wacana juga
dalam bentuk jamak merujuk kepada pola kepercayaan dan tindakan lazim di
samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada idea dan cara bertutur
sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi.Menurut Schiffrin et. al (2003:1),
wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang. Kepada
ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui
ayat. Malah, definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar,
iaitu yang melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi
bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis
wacana sebagai sama.
Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana
sebagai unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit
tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana dapat direalisasikan dalam
pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa.Sebagai kajian, wacana
memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial. Analisis
wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses memecahkan
wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat
ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana
juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar
metodologi. Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana
peringkat kritis sebagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara
penyalahgunaan kuasa sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan,
ditampilkan dan dipertahankan melalui wacana dalam konteks sosial dan politik.
Penganalisis wacana kritis mengambil pendirian yang jelas untuk memahami
ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.
Wacana sebagai unit
bahasa yang terbesar di analisis melalui analisis wacana.Analisis wacana pula
berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan
bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang melihat bahasa sebagai
jambatan antara manusia dengan objek di luar dirinya. Analisis wacana dalam
konteks pandangan ini tidak melihat makna subjektif atau nilai yang mendasari
penyataan. Sebaliknya, makna penyataan dilihat sebagai kebenaran atau
ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi tataaturan tatabahasa, seperti tautan
dan runtutan.
Pandangan
konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang memisahkan subjek
dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan wacana serta
hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud tertentu
dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu
analisis untuk membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek.
Pandangan kritis
membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada proses
produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional.
Bahasa dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang berperanan
dalam membentuk subjek tertentu, topik wacana tertentu, mahupun strategi di
dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk membongkar kuasa yang ada
dalam setiap proses bahasa.
Di sini, jelas analisis
wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada makna penyataan
sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan makna
tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan
sosial yang ada dalam setiap proses bahasa.
Konsep tatabahasa
wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang mencakupi unit
tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa yang
mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan
pengguna peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan
kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega
(Sanat, 2005 dan 2006). Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari
segi cakupan tumpuan pada wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan
metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar menganalisis yang menurut
Johnstone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara eksplisit, sama
ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.
sumber:
sumber:
No comments:
Post a Comment