Wednesday 27 April 2016

PENGENALAN

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui batas ayat dan kajian tentang unit tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah dikemukakan.

Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:

a)      Wacana Jenis Lisan
Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan juga pendengar. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke kelas.

Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa dengan betul ketika bercakap.Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana.

b)     Wacana tulisan

Wacana Jenis Tulisan pula ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung. Contoh wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel, surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.

Wacana bukan sekadar di peringkat ayat, malahan meliputi perenggan, bab, buku dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan.
Sesebuah wacana tulisan yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggan dengan satu perenggan, bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan wacana yang utuh.

Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana dalam bahasa Melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda penghubung, penanda penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran.

Rencana di bawah adalah merupakan salah satu contoh wacana tulisan.

Contoh wacana tulisan :

Rencana Tajuk : Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing.

Oleh : Siti Aminah bt Kasim

Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan peluang pekerjaan yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga buruh yang mencukupi. Fenomena ini menyebabkan negara mengimport tenaga dari negara jiran. Sebaliknya, kemasukan tenaga buruh asing menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Kedatangan buruh asing secara beramai-ramai yang tidak disaring latar belakang mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang datang untuk mencari kesempatan. Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini datang untuk mencari rezeki terdapat pula mereka yang berniat jahat. Justeru itu, berlakulah jenayah seperti pencurian, rompakan, dan penipuan. Golongan jahat ini datang untuk mencari kesenangan dengan cepat. Oleh itu, kejadian rompakan dan kecurian kerapkali berlaku di mana buruh asing ramai didapati.

Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah pihak untuk lari dari kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka melakukan jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu dengan seteru lama mereka. Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh pergaduhan dan pembunuhan di kalangan buruh asing terutama sekali yang datang dari Indonesia dan Filipina.

Selain itu, di kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan untuk makan gaji tetapi untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka bekerja tetapi setelah beberapa lama mereka berniaga dengan membuka gerai. Mereka berniaga tanpa lesen dan kadang-kadang bersaing dengan peniaga tempatqan. Oleh sebab overhed mereka rendah, mereka berupaya menjual barang-barang mereka dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan pelbagai masalah kepada peniaga tempatan.

Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak boleh bersaing meninggalkan tempat perniagaan mereka. Tindakan ini menambah pula peniaga saing seperti di Chow Kit pada suatu ketika dahulu. Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba menganut budaya tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan. Kebanyakan daripada mereka berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah mengumpulkan wang dengan banyak mereka balik ke negara asal mereka dan meninggalkan anak-anak dan isteri mereka. Fenomena ini jika tidak dikawal sudah pasti menimbulkan masalah sosial dan membebankan negara.



Rancangan jangka pendek untuk mengisi kekosongan di kilang, tapak pembinaan, ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya membawa masalah yang berat. Andainya, pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan yang ketat dan saringan yang teliti perlulah diambil oleh pihak yang berwajib. (+348 patah perkataan).

No comments:

Post a Comment