Thursday 28 April 2016

PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.

Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk kesatuan. Terdapat banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu:

Penanda Leksikal

Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan atau frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan. Contohnya seperti:

Ibu amat menyayangi Ahmad.
Kami juga amat menyayanginya.

Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan secara penuh bagi perkataan menyayangi.

Pengulangan sinonim pula merujuk kepada pengulangan kata yang mempunyai makna yang hampir sama seperti:

Suatu ketika dahulu wanita itu amat dikaguminya.
Tetapi kini, wanita itu dianggapnya sebagai perempuan murahan.

Perkataan wanita dan perempuan merupakan pengulangan kata yang sinonim iaitu sama makna.

Pengulangan hiponim pula ialah pengulangan yang melibatkan hubungan antara makna khusus dan makna yang umum yang mana merangkumi makna yang khusus. Makna yang umum disebut sebagai superordinat manakala makna khusus disebut sebagai hiponim.

Contohnya :
Ikan merangkumi makna yang khusus seperti tenggiri, bawal, cencaru, selar dan kembung.

Contohnya:

Malaysia telah mengimport pelbagai jenis kereta dari luar negara. Antaranya Honda, Nissan, Toyota dan Volvo.

Pengulangan kolokasi melibatkan kehadiran sekumpulan kata yang saling berkait dengan sesuatu idea, topik, situasi atau konteks. Lazimnya pengulangan kolokasi melibatkan hubungan leksikal selingkungan seperti perkataan almari, meja dan kerusi dikatakan sebagai perkataan yang berkolokasi kerana perkataan-perkataan ini mempunyai lingkungan yang sama iaitu perabot. Selain itu pula, apabila kita mendengar ungkapan tendangan percuma, kita akan menggambarkan situasi permainan bola sepak, dengan kata lain tendangan percuma berkolokasi dengan permainan bola sepak.

Contohnya:

Pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran air.
Oleh itu, banyak ikan dan udang yang mati.

Dalam ayat di atas, ikan dan udang merupakan perkataan yang berkolokasi kerana mempunyai lingkungan yang sama iaitu hidupan air.

Penanda rujukan

Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dan ganti nama tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Contoh rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut:

Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala Lumpur.
Kami bertolak pada pukul empat petang.

Perkataan kami merupakan kata ganti nama diri bagi aku, Sani dan Udin. Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang membawa maksud menunjukkan benda atau perkara. Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada perkataan ini, itu, sini dan situ.

Contohnya:
Di manakah awak tinggal? Saya tinggal di sana.

Penanda penghubung

Penanda penghubung berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik seperti perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda penghubung terdiri daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan tempoh.

Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara penghubung tambahan dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan selanjutnya.

Contohnya :

Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran benar-benar member pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar Bandar. Malahan dia juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti Thailand dan juga India untuk menjayakan rancangan dokumentari itu.

Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya dalam sesebuah wacana. Antara contoh penanda penghubung tentangan ialah tetapi, sebaliknya, namun dan walau bagaimanapun.

Contohnya :

Penghuni benua Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan berambut perang. Sebaliknya, mereka merupakan kaum yang berambut panjang dan hitam.
Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya sesuatu.

Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab dan oleh itu.

Contohnya:

Dia kesuntukan masa.
Oleh sebab itu, dia perlu menyiapkan tugasannya secepat mungkin.

Penanda penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu.
Contoh penanda penghubung tempoh ialah pertama, kedua, ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.

Contohnya:
Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan.
Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas itu, kami teruskan pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi kami berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi.

 1. Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping.

2. Urutan
Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya.

3. Penyataan semula iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan.

4. Contoh contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai.

5. Rumusan rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata

6. Tempat berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan.

7. Waktu apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya.

8. Sebab dan kesan oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu.

9. Bandingan seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan.

10. Pertentangan tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan.

11. Pengesahan sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya.

Penanda penggantian.

Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya. Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal. Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata nama tau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan penggantian sebahagian daripada ayat.

Contohnya :

Saya sengaja tidak mahu menebang pokok durian itu.
Nanti baru saya lakukan.

Dalam contoh di atas, perkataan lakukan menggantikan sebahagian ayat sebelumnya, iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian seperti ini merupakan penggantian klausa.

Elipsis
Elipsis melibatkan pengguguran kata atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Ini bererti pengguguran kata atau frasa melibatkan maklumat yang telah diketahui oleh pembaca atau pendengar berdasarkan konteksnya.

Contoh 1 :

Pemuda itu kelihatan resah.
Tidak tahu arah mana yang harus ditujunya.

Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua. Walaupun ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama, tetapi ayat kedua ini masih difahami.

Contoh 2 :

Ah Meng suka baju berwarna merah.
Adiknya suka baju putih.

Dalam ayat (1) di atas perkataan tidak diulang dalam ayat (2). Walaupun dalam ayat pertama dan kedua menyatakan unsur yang sama iaitu unsur warna tetapi kedua-dua ayat tersebut masih boleh difahami.

Jenis elipsis.

Terdapat tiga jenis elipsis , iaitu:

a) Pengguguran nomina Contoh :

A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup …"

B: "Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?" (Leman Ahmad. 1984: 24)

B) Pengguguran verbal Contoh :

A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?"

B: "ya, pernah ^ " (Tarigan, H.G. 1995:166) c) Pengguguran klausa

Contoh : Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari kerajaan?" Pelajar: "Ya tentu" (Tarigan, H.G. 1995:147).


No comments:

Post a Comment