Menurut Sanat Md. Nasir (2002:
9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada pendapat yang mengatakan
Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perintis analisis wacana dalam bahasa
Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan
penggunaan ganti nama.
Setakat yang terkumpul, Harimurti
Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah beliau “NYA sebagai penanda anafora”.
Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas kerja yang bertajuk “Keutuhan
Wacana” dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa. Artikel itu
membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek analisis wacana.
Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik dan linguistik
teks. Demikianlah juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D. Aja-miseba (1978).
Kerancakan penyelidikan tentang
wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-an, iaitu sepuluh tahun selepas
wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di Amerika Syarikat.
Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan buku. Asmah (1980a dan
1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa, yang
masing-masing bertajuk “Analisis Wacana” dan “Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran
Berkomunikasi: Pendekatan Wacana”. Dalam artikel yang pertama itu, beliau telah
menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu kaedah Harris, kaedah
Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas
(1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985).
Selain yang berbentuk artikel,
penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara serius di peringkat latihan
ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi latihan ilmiah yang
diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994, didapati latihan
ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984. Terdapat 14
buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak tahun tersebut hinggalah tahun
1989. Penelitian di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat
yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto melihat unsur
tautan manakala Wong, kesinambungan topik.
Di peringkat disertasi kedoktoran
pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982), Farrerty (1982), Azhar M. Simin
(1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus pada aspek struktur tema dan
sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa Melayu dan Inggeris.
Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa Indonesia yang dituturkan oleh
orang Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula meneliti sintaksis wacana yang
dalam bahasa Malaysia sedangkan Tallie, dengan menggunakan pendekatan analisis
wacana, cuba mengkaji keterpaduan, keruntutan, dan keterbacaan wacana buku
pelajaran bahasa Indonesia di peringkat sekolah dasar.
Penelitian wacana sepanjang tahun
1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian daripada buku dapat dilihat seperti
dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks saintifik, Tarigan (1987) Pengajaran
Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia (1988: 334-360).
Dekad awal 1990-an diperteguh
dengan kerancakan penelitian tentang wacana bahasa Melayu seperti yang
ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991) menghasilkan tesis Ph.D. dengan
tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang
Tuah”. Tumpuan beliau pada hubungan antara susunan ayat yang logikal dengan
susunan maklumat. Perhatian juga diberikan terhadap analisis tetenunan dalam
ayat yang berkaitan dengan hubungan tersebut.
Soeseno (1992) dalam syarahan
perdana sempena pengukuhan beliau sebagai profesor telah memilih tajuk
“Analisis Wacana dan Penerapannya”. Dalam syarahan itu, beliau secara meluas
menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai cabang ilmu bahasa,
perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks situasional, prinsip
interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi, referensi,
pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Di hujung syarahan
beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana.
Manakala peneliti lain yang
menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti Samsuri (1992), Ramlan (1992),
Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat (1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan
1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah (1995).
Jika ditinjau dari segi
penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990 hingga 1994 di
Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan
Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Dua
buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994), “Analisis Tautan dalam
Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan dalam Bahasa Melayu”. Kedua-dua
latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).
Seperti yang telah dinyatakan di
atas, wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian bahasa Melayu masih baru.
Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya, wacana sebagai satu disiplin
hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di Amerika Syarikat. Biasanya,
kesannya akan memakan waktu antara 5 hingga 10 tahun untuk sampai ke sini. Pada
waktu yang sama, aliran transformasi generatif yang dipelopori Chomsky masih
kuat bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat
kedoktoran dalam tempoh itu telah terpengaruh dengan aliran tersebut.
Selain itu, kajian wacana sebagai
mata kursus peringkat sarjana muda di universiti tempatan masih belum
menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985) telah membuat tinjauan tentang
pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran, dan didapati
hanya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan
kursus tersebut. Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan
topik tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang
bukan wacana, seperti tranformasi generatif.
Pada awal tahun 1990 diberitahu
bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di Universitas Indonesia di Indonesia
masih belum ada kursus seumpama itu di peringkat ijazah pertama. Demikian juga
di Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore. Sebaliknya,
Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains
Malaysia sudah menawarkan kursus “Analisis Wacana” di peringkat ijazah dasar
bagi sesi 1989/90. Di Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya kursus tersebut hanya dapat dimulakan pada sesi 1993/94
dengan tajuk “Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu”. Jabatan Pengajian Melayu,
Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pertanian Malaysia belum lagi menawarkan
kursus yang seumpama itu pada sesi 1995.
No comments:
Post a Comment