Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8
dan 12-18), wacana sebagai bidang kajian mempunyai sumber sejarahnya yang
panjang, iaitu bermula dengan peradaban keagamaan yang mengkaji kitab agama,
seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M. Malah, jika disoroti lagi, zaman
suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih awal, seawal Nabi Adam.
Dalam tradisi Barat pula, wacana
mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik seawal abad kelima sebelum
Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik awal oleh Aristotle
(384-322 S.M.) melalui retorik dan seterusnya, aliran Stoik oleh Zeno pada 300
S.M.
Retorik klasik mula malap dengan munculnya
linguistik sejarah dan perbandingan pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20
lahir aliran struktural yang mempengaruhi formalis Rusia dan strukturalisme
aliran Praha seperti pada Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan
tentang perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah lahir
konsep struktur tema dan struktur maklumat yang menjadi asas runtutan teks.
Di Great Britain, telah
berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan bahasa dengan persekitarannya
melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika Syarikat pula
terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis wacana oleh Harris (1952).
Beliau menggunakan prosedur formal tentang penyebaran struktur kelas keserupaan
yang melebihi ayat.
Analisis wacana moden bermula
pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya analisis struktural wacana di
Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik yang dipelopori oleh
Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb.
Di Jerman pula, muncul aliran linguistik teks oleh Hartmann. Dan di Great
Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional oleh Halliday yang seterusnya
dikenali dengan linguistik sistemik. Halliday (1962) dalam artikelnya,
“Descriptive Linguistics in Literary Studies”, dikatakan telah membuat
penyataan awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman struktur wacana.
Ruqaiya Hassan (1964) dalam tesis PhDnya memperkukuh konsep tautan Halliday
tersebut. Pemuka aliran stratifikasi.
Gleason (1968), berpendapat dalam
struktur wacana terdapat dua konstituen semologi, iaitu jalur peristiwa dan
jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada dalam jalur peserta. Dekad 1960-an
ini menandakan perkembangan awal analisis wacana moden yang lebih bersifat
deskriptif dan struktural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Aliran
ini bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu
tatabahasa transformasi generatif.
Analisis wacana pada dekad
1970-an merupakan analisis secara sistematis dalam disiplin yang sama atau
antara disiplin. Perkembangan ini merupakan tentangan terhadap tatabahasa
formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara terbitan yang besar
dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). Mereka menghasilkan Cohesion
in English yang oleh Brown dan Yule (1983:190) dikatakan paling komprehensif
dan piawai dalam bidang tautan. Malah, dalam Sanat (2002:18) terdapat
kesimpulan bahawa daripada 17 buah disertasi PhD di luar negara tentang tautan
sehingga 1993, 15 buah daripadanya menggunakan kerangka sistemik Cohesion in
English.
Dekad 1980-an dan awal 1990-an
menjadikan analisis wacana lebih padu dan berkembang, dan pada waktu yang sama
merencam dan mengkhusus. Antara terbitan yang besar dalam tempoh tersebut ialah
Beugrande dan Dressler (1981), Introduction to Text Linguistics, Longacre
(1983), The Grammar of Discourse, Halliday (1985), An Introduction to
Functional Grammar, Martin (1992), English Text: System and Structure, dan Cook
(1994), Discourse.
Jika dilihat perkembangan pada
dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21, didapati analisis wacana memasuki
tahap kritis seperti dalam Fairclough (1995,2001 dan 2003). Malah, beliau telah
menghasilkan karya lebih awal daripada itu seperti Discourse and Social Change
pada 1992. Seperti yang dinyatakan di atas, analisis wacana ini lebih
menumpukan pada usaha membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa
kerana bahasa dilihat sebagai representasi yang memproduksi dan mereproduksi
makna.
No comments:
Post a Comment