Ciri – ciri wacana
Menurut Beaugrande dan Dressler
(1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan
wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan
dan interteks.
Namun menurut Asmah Haji Omar
dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “ Analisis Wacana “ pula
terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu :
I. satuan bahasa
II. terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.
Menurut Nik Safiah Karim dalam
Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana
yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan). Menurut
beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu
wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung,
keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–wacana lain
yang membantu pendengar atau pembaca memahaminapa yang didengar atau dibaca.
6.1 Tautan atau kohesi
Tautan atau kohesi ialah
keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang
lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Keserasian
hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa
atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana
tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara
sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga
merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.
Kohesi juga disebut sebagai
organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara
padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di antara
ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal
mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu
baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.
“Tautan merupakan satu set
kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu
berkesatuan”
(Halliday dan Hasan:1976)
Menurut Halliday dan Hasan lagi,
"Cohesion is expressed through the strata organization of language.
Language can be explained as a multiple coding system comprising three levels
of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical (forms)
and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized
(coded) as forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions.
To put this in everyday terminology, meaning is put into wording and wording
into sound or writing."
Halliday dan Hasan telah cuba
melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan
leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu,
kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk
suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam
unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.
Contohnya:
1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke
perpustakaan.
2. Mereka ke sana untuk meminjam
buku.
Dalam contoh di atas, terdapat
tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan mereka dalam ayat kedua
merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana merujuk kepada
perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini dianggap
sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna dan difahami.
6.1.1 Jenis-jenis kohesi
6.1.1.1 Kohesi Leksikal
Kohesi Leksikal diperoleh dengan
cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua cara bagi mencapai aspek kohesi
leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi.
i) Reiterasi (Pernyataan Semula)
Reiterasi atau pernyataan semula
berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata, sinonim, superordinat dan
kata-kata umum.
a) Pengulangan Kata
Pengulangan kata ini dikenali
juga sebagai repetition. Kata yang sering kali diulang ini adalah dari 'kata
isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah kata yang amat penting bagi
sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Kata isi ini
boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau
'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan
ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di dalam intipati teks. Manakala cara
yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang maka berkemungkinan teks itu
akan terganggu sifat kesatuannya.
Dalam bahasa Melayu, kata yang
akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi ataupun sudut morfologi. Ini
dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika kelas kata yang diulang
itu tidak berubah.
b) Sinonim
Sinonim ialah suatu kata yang
mempunyai makna yang sama dengan 'kata seerti'. Sinonim ini digunakan kerana
ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi pengulangan kata yang sama di dalam teks
dan juga sinonim ini memberikan variasi kepada sesuatu teks. Sesetengah kata
dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-duanya merujuk kepada perkara yang
sama.
c) Superordinat
Superordinat ialah penggunaan
kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada kata yang lebih umum atau dikenali
sebagai 'hiperonim'.
Contoh :
Semua yang ada di desa seperti
kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus dibuatkan kandangnya secara
teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk desa membuat kandang ternakan
masing-masing.
(Tarigan, H.G. 1995: 146)
Superordinat bagi contoh di atas
ialah kata umum yang merujuk 'kambing, kerbau, biri-biri, ayam', iaitu
'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah kata khusus yang juga dikenali
hiponim.
d) Kata-kata Umum
Kata-kata umum ialah kata-kata
yang tidak tentu kelasnya.
Contoh :
Bagi Awang Semaun, jika ia
beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang, sebelum perolehan itu dibawanya
balik ke rumahnya…
(Harun Aminurrashid. 2001:25)
ii) Kolokasi
Bagi mengenal kolokasi adalah
melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis
b) dari sudut semantik.
a) Dari Sudut Sintaksis
Contoh :
Ketika itu nama Brunei dikenali
sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni. Pada zaman Sultan Muhyiddin
iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke
tempat yang ada sekarang.
(Harun Aminurrashid. 2001:19)
b) Dari Sudut Semantik
Contoh :
Kerajaan berusaha
bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air kita, iaitu
perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah
digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor. Kenderaan ini
meliputi kereta, motosikal dan lain-lain.
(Tarigan, H.G. 1995: 136)
6.2 Runtutan atau koheren
Runtutan atau koheren merupakan
kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan
sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan
wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut
mempunyai makna.
Contohnya:
Penyakit sindrom kurang daya
tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di
beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang
maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.
Contoh di atas jelas menunjukkan
kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini.
Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara
satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana
mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang
bertaut tidak semestinya runtut.
Contohnya:
Wanita itu membeli baju baharu
bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini
ramai yang menghadapi masalah sosial.
Berdasarkan teks di atas, setiap
ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks
tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak
mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan
wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan.
6.3 Tujuan
Setiap wacana yang diujarkan sama
ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu
wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada penulis atau
pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan interaksi
yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika
tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan
ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan
sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.
6.4 Penerimaan
Sesuatau wacana sama ada lisan
atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca
merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika
pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam
bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila
tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.
6.5 Maklumat
Setiap wacana mempunyai maklumat.
Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu.
Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baharu
pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau
pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
Contohnya:
(1) Puan Rita mengajar di sekolah
menengah.
(2) Sekolah itu sekolah berasrama
penuh.
Sekolah itu dalam ayat (2)
merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah
berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.
6.6 Keadaan
Ciri seterusnya ialah keadaan.
Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau
pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami
kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke
dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis
latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat
membeli-belah, latar berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi.
Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.
Setiap wacana perlu dikaji kaitan
dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya
wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal, contohnya, wujud apabila
seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar
berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan
biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam
pertuturan.
Wacana harus ada tujuan yang
menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk
melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah.
Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat
yang terbentuk ialah ayat Tanya.
Sesuatu wacana mesti berdasarkan
kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan penulis dengan
pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat
yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat sebelumnya.
Contohnya:
“Kelmarin dia tidur sehari
suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”
Dalam wacana perlu ada
unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan
sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait rapat.
Misalnya:
“Cikgu Shafie mengajar dengan
penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian daripada guru besar.”
Setiap wacana harus mempunyai
andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian manakala
maklumat berikutnya disebut inferensi. Dalam tatabahasa tradisional, andaian
digelar judul dan inferensi disebut ulasan. Inferensi manambah maklumat kepada
andaian dan lazimnya bahagian ini diberi tekanan suara yang tinggi. Misalnya:
6.7 Interteks
Interteks bermaksud sesuatu
wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana
lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu
wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain,
kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya
terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.
No comments:
Post a Comment